04 September 2008

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama rasmi bagi satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003.


Objektif

Menurut penerangan mengenai dasar PPSMI di laman web Kementerian Pelajaran Malaysia[1]:

Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.

Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.

Ketika mencadangkan dasar ini, Tun Dr Mahathir berpendapat bahawa Malaysia makin ketinggalan dalam arus globalisasi, dan diharapkan dasar ini memberi kelebihan kompetitif kepada negara, mencontohi kejayaan Singapura dan India yang semakin melangkah ke depan kerana kebiasaan dengan bahasa Inggeris.

Pelaksanaan

PPSMI dilaksanakan kepada masukan pelajar Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun persekolahan 2003; pelajar-pelajar lain pula tidak terlibat, sebaliknya meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa perantara lama. Bahan-bahan pembelajaran PPSMI berbentuk pakej yang terdiri daripada komponen-komponen berikut:

  • Buku Teks (Textbook): Buku Teks disediakan untuk murid sebagai sumber asas mendapatkan pengetahuan tentang konsep dan kemahiran dalam pembelajaran sains dan matematik.
  • Buku Latihan dan Aktiviti (Activity Book): Buku Latihan dan Aktiviti (BLA) disediakan untuk murid bagi mengukuhkan kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran sains dan matematik yang telah dipelajari daripada buku teks. BLA membekalkan soalan latihan dan aktiviti yang dapat dilaksanakan oleh murid. BLA adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik Tahap Satu sahaja.
  • Buku Panduan Guru (Teacher's Guide): Buku Panduan Guru disediakan untuk guru sebagai sumber rujukan dan panduan supaya memudahkan guru merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Buku panduan ini juga membantu guru mengemaskini dan meningkatkan pengetahuan sains dan matematik serta merangsang kreativiti guru dalam P&P. Buku Panduan Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Dua serta Pakej Buku Teks Matematik Tahun Satu.
  • MyCD (Pupil's CD-ROM): MyCD ialah CD-ROM untuk murid yang bertujuan mengukuhkan kefahaman murid berkaitan konsep sains dan matematik yang telah mereka pelajari melalui persembahan multimedia. Kandungan MyCD adalah Latihan dan Aktiviti secara interaktif, permainan, simulasi dan e-ujian.
  • CD-ROM Guru (Teacher's CD-ROM): CD-ROM Guru bertujuan membantu guru dalam merancang dan melaksanakan P&P sains dan matematik. Antara kandungan di dalam CD-ROM Guru ialah strategi P&P, bank soalan, aktiviti tambahan dan senarai URL yang relevan dengan pendidikan sains dan matematik. CD-ROM Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Satu sahaja.
  • Buku Amali Sains (Science Practical Book): Buku Amali Sains diterbitkan untuk memastikan mata pelajaran Sains diajar secara amali dan bukan hanya secara teori. Selain itu, daya pemikiran dan kreativiti murid dapat dikembangkan melalui amali serta menimbulkan minat murid terhadap Sains. Buku Amali Sains adalah komponen Pakej Buku Teks Sains untuk Tahap Dua sahaja.
  • Buku Glosari: Buku Glosari Sains dan Matematik adalah bahan rujukan guru dan murid untuk mengenal sesuatu istilah melalui definisi dan penggunaan istilah tersebut dengan lebih tepat.

Mula-mulanya, dasar PPSMI menghadapi bantahan khususnya dari wakil-wakil Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) pimpinan Dong Jiao Zong. Oleh itu, sebagai langkah kompromi oleh Majlis Tertinggi Barisan Nasional, formula “2-4-3” telah dilaksanakan mulai tahun 2003 untuk Tahap I dengan menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Cina secara serentak dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, manakala bagi Tahap II, formula “6-2-3-2” telah dilaksanakan mulai tahun 2006 untuk tujuan tersebut.

Reaksi dan kritikan

Sejak pelaksanaannya lagi, PPSMI banyak menghadapi pembidasan dan tentangan berkenaan idea dan pelaksanaannya dari pelbagai pihak termasuk ahli politik, akademik, ibu bapa dan pelajar sendiri. Antara isu-isu yang diketengahkan pihak-pihak tersebut termasuklah kesukaran murid-murid mengikuti pelajaran dan guru-guru menyesuaikan diri kepada perubahan bahasa perantara, serta kesannya terhadap penguasaan bahasa ibunda murid-murid, terutama di peringkat sekolah rendah.

Reaksi dari bidang pendidikan

Menurut satu memorandum yang dikarang bersama oleh sebelas pertubuhan pendidikan sekitar hujung tahun 2007, dinyatakan bahawa kajian-kajian telah dijalankan untuk membuktikan bahawa PPSMI membawa kesan negatif di peringkat sekolah rendah, termasuk amaran dari Kongres Pendidikan Melayu Kedua bahawa 500,000 orang pelajar Melayu akan keciciran dalam mata pelajaran terbabit kerana lemah menguasai bahasa Inggeris; formula-formula "2-4-3" dan "6-2-3-2" bagi SJK(C) bukan sahaja menjejaskan pembelajaran Sains dan Matematik, bahkan juga bahasa Cina di kalangan murid-murid; Persatuan Pendidikan Tamil juga meluahkan kebimbangan murid-murid SJK(T) yang kebanyakannya berasal dari keluarga miskin turut akan menghadapi keciciran kerana ketidakmampuan menguasai bahasa Inggeris, sekaligus memburukkan keadaan sosio-ekonomi masyarakat India kerana anak-anak sukar disalurkan ilmu untuk menaikkan taraf hidup masyarakat mereka.

Malah, memorandum tersebut turut menyentuh satu laporan kajian UNESCO yang turut menegaskan bahawa pembelajaran mata pelajaran terpenting di peringkat sekolah rendah lebih sesuai diajar dalam bahasa setempat. Laporan berkenaan bertajuk Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries yang dikarang oleh Santosh Mehrotra pada tahun 1998. Mehrotra menegaskan lagi kepentingan mengutamakan bahasa ibunda sebagai bahasa perantara dalam buku yang dikarangnya bersama Enrique Delamonica bertajuk Eliminating Human Poverty: Macroeconomic & Social Policies for Equitable Growth yang mencatatkan pemerhatian terhadap persada pendidikan di benua Asia Selatan dan Afrika sub-Sahara, di mana adalah didapati bahawa jika bahasa perantara bukan bahasa ibunda, lebih-lebih lagi jika ibu bapa pelajar itu buta huruf, maka bertambah buruklah masalah belajar dalam persekitaran yang dikelilingi kemiskinan, diiringi tambahnya kemungkinan keciciran bertambah.

Reaksi dari ahli politik

Perbahasan mengenai dasar PPSMI tidak terlepas pandangan ahli politik, baik pihak pembangkang mahupun pemerintah. Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyambut kepulangannya ke dalam politik negara pada April 2008, berkata "Pakatan Rakyat tetap tidak akan bertolak ansur mengenai kedudukan bahasa kebangsaan dan lain-lain hal yang telah diputuskan melalui Perlembagaan Persekutuan sebelum ini, dan "pimpinan mestilah serius dalam usaha meletakkan semula bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik."

Khairy Jamaluddin, naib ketua Pemuda UMNO, turut menggesa agar dikembalikan bahasa kebangsaan sebagai perantara mata pelajaran Sains dan Matematik. Katanya, "(Berdasarkan maklum balas akar umbi) bahasa Inggeris jadi tembok penghadang untuk fahami sains dan matematik. Guru pun ada masalah untuk mengajar, bukan sahaja lidah tergeliat, proses pengajaran juga terencat. Saya takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran." Tambahnya lagi, cara terbaik bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris ialah dengan memantapkan teknik pengajaran subjek itu secara menyeluruh, antara lain dengan memperkenalkan pelajaran sastera bahasa Inggeris di sekolah.

Hasil keputusan peperiksaan

Sungguhpun begitu, pernah juga diwar-warkan keberkesanan PPSMI dalam keputusan peperiksaan sekolah yang memberangsangkan, khususnya bagi mata pelajaran berkenaan ilmu sains dan matematik. Menurut pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Ramlan Sariman, mata pelajaran Biologi menunjukkan peningkatan kelulusan sebanyak 4.87% (91.45%-96.32%), Matematik Tambahan 6.81% (68.61%-74.76%), Fizik 8.76% (94.87%-97.63%), Matematik 1.04% (77.61%-78.65%) dan Sains Tambahan 4.29% (86.25%-90.54%), sekaligus membuktikan bahawa bahasa perantara bukan penghalang dalam kejayaan dalam pelajaran peringkat menengah.

Pada tahun 2008, Kementerian Pelajaran telah mula mengkaji semula dasar PPSMI dan dijangka mengambil keputusan terhadap PPSMI pada hujung tahun, berdasarkan keputusan UPSR dan faktor-faktor lain.

No comments: