08 October 2008

PLKN untuk murid tahun enam



UJIAN Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru sahaja melabuhkan tirainya. Kebiasaannya pihak sekolah dan guru menyediakan pelbagai program dan aktiviti sama ada yang berbentuk akademik atau sebaliknya untuk mengisi jadual waktu persekolahan.

Ada guru yang mula mendedahkan murid dengan sukatan pelajaran sekolah menengah. Ada yang mengadakan bengkel dan ceramah. Tidak kurang juga yang membenarkan murid ke pusat sumber sekolah membuat kerja sendiri. Sesetengahnya mengadakan pertandingan catur atau sukan lain. Ramai juga guru yang mengadakan kelas pemulihan khas untuk murid bermasalah pembelajaran.

Pendek kata, pengisian jadual waktu selepas tamat UPSR berbeza mengikut sekolah dan tahap kepintaran murid. Pokoknya jadual waktu terisi dan murid tidak terbiar.

Namun begitu hasrat murni ini tidak begitu berjaya mencapai matlamatnya kerana dalam sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan murid sudah tidak ada hati untuk ke sekolah apatah lagi untuk belajar sebaik sahaja tamat UPSR.

Majoriti hadir atas dasar keterpaksaan - kosong tanpa jiwa dan sekadar untuk mengisi masa senggang semata-mata. Segelintir lagi khususnya pelajar kategori lemah akademik pula "bercuti" awal dengan menghabiskan masa menonton televisyen, bermain playstation atau melepak di kafe siber.

Sebagai alternatif, Kementerian Pelajaran mungkin boleh mengadakan satu program khusus yang seragam ala Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai acara wajib kepada semua murid tahun enam yang telah menduduki UPSR sementara menanti cuti persekolahan akhir tahun.

Program ini pastinya menarik minat murid kerana ia diadakan di luar persekitaran sekolah dan tidak terikat dengan buku atau pensil. Tambahan pula mereka berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang menyeronokkan seperti flying fox, absailing dan berkayak.

Peluang ini membolehkan mereka meneroka idea baru dan membuat anjakan paradigma dalam suasana di luar bilik darjah. Paling utama program ini mampu membuka mata dan menambah pengetahuan serta pengalaman murid berkenaan.

Sungguhpun begitu, modul pengisian program tidak perlu terlalu berat seperti PLKN sedia ada yang melibatkan penggunaan senapang dan peluru hidup. Memadai dengan beberapa perkara yang sesuai dengan usia muda mereka seperti ikhtiar hidup, motivasi, berkawad, rawatan kecemasan dan modul kenegaraan.

Tempoh program juga tidak perlu terlalu lama atau terlalu singkat. Sebulan merupakan tempoh yang ideal untuk mereka berdikari dan menjadi `dewasa`. Ia juga bagi memberi masa yang mencukupi kepada mereka selepas tamat program untuk membuat persediaan memasuki tingkatan satu dan berkhatan bagi yang belum.

Program ini juga menjadi satu latihan persediaan kepada murid-murid yang bakal tinggal di asrama tidak kira di sekolah berasrama penuh atau di asrama harian.

Mini PLKN ini boleh diadakan mengikut daerah, zon atau negeri tertakluk kepada kesediaan dan keupayaan kem-kem yang ada.

Bagaimanapun, faktor keselamatan dan pemilihan jurulatih perlu diberi perhatian serius oleh Kementerian Pelajaran untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti kes cabul, buli dan pergaduhan.

Aspek kesihatan khususnya yang melibatkan bekalan makanan dan air bersih juga tidak boleh diabaikan demi memastikan peserta program bebas daripada wabak penyakit berjangkit dan masalah keracunan makanan.

Hanya dengan jaminan itu, ibu bapa atau penjaga akan berasa yakin untuk melepaskan 'anak kecil' mereka menyertai program ala PLKN tersebut.